Tentang Kasih Madani
Kenali matlamat utama inisiatif ini serta rakan penggerak yang merealisasikan visi memperkasa ekosistem pengasuhan awal kanak-kanak di Malaysia.
Kasih Madani
Kasih Madani ialah satu inisiatif di bawah Kerajaan Madani untuk memperkasakan golongan pengasuh di rumah bagi menyokong ekonomi jagaan di Malaysia. Program ini dikelolakan oleh pihak Merdeka Center dan ditanggung sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan menerusi Yayasan Sime Darby.
Kami memastikan persekitaran asuhan di rumah mematuhi standard keselamatan minimum melalui sesi lawatan, verifikasi keadaan rumah, dan sokongan berterusan daripada pakar penjagaan awal.
Kasih Madani menyediakan ekosistem pembelajaran yang komprehensif untuk membantu peserta memperkukuh ilmu, meningkatkan kompetensi serta membina masa depan yang lebih baik dalam bidang pengasuhan. Setiap program direka dan dikendalikan oleh pakar bagi melahirkan pengasuh yang profesional, berkemahiran serta mampu memberikan asuhan berkualiti kepada kanak-kanak.

Merdeka Center
Merdeka Center telah ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2001 sebagai sebuah organisasi bebas yang memberi tumpuan kepada penyelidikan pendapat awam serta analisis sosioekonomi.
Misi Merdeka Center adalah untuk menjadi penghubung antara rakyat Malaysia dan pelbagai pihak berkepentingan dengan pemimpin negara melalui pengumpulan kajian pendapat awam serta penyampaian hasil kajian dalam bentuk tinjauan, analisis dan kertas pendirian. Selain itu, Merdeka Center turut aktif dalam pelbagai usaha libat urus di seluruh Malaysia dengan melibatkan pelbagai segmen masyarakat, termasuk golongan belia dan wanita serta komuniti di beberapa negeri.
Usaha ini dilaksanakan terutamanya bagi menyokong pembinaan negara dan memperkasa komuniti melalui bengkel interaktif, aktiviti lapangan serta sesi perbincangan secara santai dan terbuka.

Yayasan Sime Darby
Yayasan Sime Darby (YSD) atau Sime Darby Foundation merupakan badan kebajikan dan filantropi bagi Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad dan Sime Darby Property Berhad. Ditubuhkan pada tahun 1982, Yayasan Sime Darby berteraskan lima bidang utama, iaitu Pendidikan, Alam Sekitar, Komuniti & Kesihatan, Sukan, serta Seni & Budaya.
Dipimpin oleh Majlis Tadbir Urus (Governing Council) yang bebas, yayasan ini diuruskan oleh pasukan khusus yang bekerjasama rapat dengan ketiga-tiga syarikat penyumbang YSD dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama.
Sejak penubuhannya, Yayasan Sime Darby telah memperluaskan peranannya daripada menyediakan biasiswa kepada individu yang cemerlang dan memerlukan, kepada membiayai pelbagai program pemuliharaan, khidmat komuniti dan pembangunan yang memberikan impak kepada masyarakat.
